28 Februari 2026 /10 Ramadan 1447H
Ramadan Orphan Care telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Anjung Masjid Asy Syakirin KLCC melibatkan seramai 92 orang anak-anak istimewa dan anak yatim.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YAB Datuk Amar Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II. Kehadiran beliau bukan sahaja menyuntik semangat buat para penerima, malah mencerminkan keprihatinan kepimpinan negara dalam menyantuni golongan memerlukan di bulan yang mulia ini.
Antara pengisian utama majlis, sesi beramah mesra YAB Timbalan Perdana Menteri II bersama-sama tetamu yang hadir, penyerahan sumbangan bagi persiapan Aidilfitri, tazkirah khas oleh Dai’ Azrin dan alunan ziir Munajat oleh saudara Hazamin Inteam.
Program ini merupakan manifestasi nyata semangat #MalaysiaMADANI dan #MADANIMembantu, di mana kebajikan dan keadilan sosial sentiasa menjadi teras dalam membina masyarakat yang ihsan.
Terima kasih kepada pihak YAB Timbalan Perdana Menteri II , Datuk Amar Haji Fadillah Bin Yusof, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Tuan Haji Hanifuddin Bin Roslan, pengurusan Masjid Asy Syakirin KLCC, para penyumbang, dan sukarelawan yang memastikan senyuman terukir di wajah 92 permata hati ini. Semoga segala amal jariah kita di bulan Ramadan ini diterima oleh Allah SWT.
